Walaupun produk jualan beliau sudah habis terjual Jumaat lalu, namun begitu sehingga ke hari ini ramai yang masih memperkatakan tentang produk Dendeng Nyet Berapi keluaran usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming.
Bukan hanya kerana produk tersebut dikeluarkan oleh pempengaruh yang memenangi anugerah Creator of The Year, tetapi bagi pembeli mereka tidak harus melepaskan peluang untuk mendapatkan produk yang berkualiti. Kejayaan Khairul Aming semasa mengeluarkan produk pertamanya, Sambal Nyet Berapi memberikan keyakinan kepada pembeli untuk terus menyokong produk keluarannya.
Bagaimanapun, ada juga yang memilih untuk menjadi JOMO (Joy Of Missing Out) daripada FOMO (Fear Of Missing Out), sekadar memerhati suasana yang berlaku. Namun begitu, apa-apa jua pandangan dan pilihan terletak pada individu masing-masing.
Jika ada yang terlepas untuk memiliki produk kedua Khairul Aming, jangan risau kerana sebelum ini Khairul Aming ada berkongsi resepi Daging Dendeng yang dikongsikan bulan Ramadan lalu.
Tidak perlu berebut, hanya perlu rajin ke dapur!
“Daging 1 kilo direbus dalam anggaran 40 minit. Air rebusan jangan dibuang dan daging dihiris nipis dan ditumbuk serta digaul dengan kicap manis. Daging yang digaul digoreng sekejap.
“Kemudian, kita kisarkan serai, halia,bawang merah, enam ulas bawang putih dan cili kering yang sudah direbus. Bahan-bahan dikisar tadi ditumis dan masukkan air rebusan daging sehingga pecah minyak dan masukkan satu cawan kicap manis.
“Lepas tu masukkan tiga helai daun limau purut yang dicarikkan dan masukkan garam, gula, serbuk perasa, air asam jawa. Seterusnya masukkan daging yang digoreng tadi dan masukkan cili padi yang diketuk,” katanya.
Resepi yang dikongsikan melalui jaringan TikTok mendapat 7.9 juta tontonan.
Sumber: Khairul Aming