Seorang tenaga pengajar di sebuah madrasah di Sabah digantung tugas sementara selepas tular di media sosial kerana memukul sekumpulan pelajar menggunakan topi keledar.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani, memaklumkan bahawa pihaknya telah melawat lokasi kejadian dan mengambil laporan penuh bagi tujuan siasatan.
Jelasnya, Madrasah terbabit merupakan institusi swasta yang berdaftar dengan JHEAINS.
“Tenaga pengajar ini telah kita nasihatkan supaya digantung daripada tugas berkenaan dan ahli lembaga telah memutuskan untuk menggantung tugas tenaga pengajar tersebut buat sementara waktu sehingga siasatan selesai,” katanya.
Baca juga:
- ‘Mak cik nak jalan kaki, anak kemalangan’ – Pilu ibu kehilangan anak tunggal lelaki
- Kanak-kanak tujuh tahun parah diserang anjing liar ketika bermain
- Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun, seludup kokain RM3.2 juta dalam kasut
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kesemua 13 pelajar yang terlibat, berusia 18 tahun ke atas, telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar perlu dilakukan secara berhemah tanpa mengasari secara berlebihan.
Terdahulu, tular video seorang lelaki dipercayai tenaga pengajar sebuah Madrasah bertindak menendang dan memukul dengan topi keledar beberapa pelajar di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu.
Sumber: Sinar Harian








