Telegram sekat Edisi Siasat & Edisi Khas, muncul notis ‘violate local laws’ | The Reporter

Telegram sekat Edisi Siasat & Edisi Khas, muncul notis ‘violate local laws’

Notis sekatan Telegram terhadap saluran yang langgar undang-undang Malaysia
“This channel can’t be displayed because it violated local laws (Malaysia)” muncul ketika cuba akses Edisi Siasat atau Edisi Khas

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Pengguna Telegram tidak lagi boleh akses saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas
• Mesej amaran “violated local laws” muncul bila cuba dibuka
• Sekatan selari dengan tindakan sivil SKMM dan injunksi Mahkamah Tinggi

Cubaan beberapa pengguna untuk mengakses semula saluran Edisi Siasat di aplikasi Telegram malam ini mendapati saluran tersebut tidak lagi boleh diakses. Sebaliknya, satu mesej amaran dipaparkan yang berbunyi, “This channel can’t be displayed because it violated local laws (Malaysia).”

Paparan sama turut muncul apabila pengguna cuba membuka saluran Edisi Khas, susulan tindakan sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini terhadap kedua-dua saluran tersebut.

Apa maksud paparan ini?

Mesej yang muncul pada skrin pengguna adalah penanda bahawa pihak Telegram telah mengambil tindakan menyekat saluran berkenaan daripada dipaparkan kepada pengguna di Malaysia, selaras dengan perintah injunksi interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, SKMM memfailkan tindakan sivil terhadap Edisi Siasat dan Edisi Khas kerana menyebarkan kandungan yang didakwa melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kandungan yang dimuat naik didakwa boleh menggugat ketenteraman awam dan merosakkan kepercayaan terhadap institusi kerajaan.

Telegram sebagai pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) di Malaysia juga kini berdepan tekanan untuk bekerjasama secara lebih aktif dengan pihak berkuasa tempatan.

SKMM menegaskan tindakan ini adalah langkah akhir selepas pelbagai rundingan tidak membuahkan hasil dan mengingatkan semua penyedia platform digital supaya bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi pengguna.

Adakah saluran tersebut ditutup terus?

Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada saluran-saluran tersebut telah dipadam sepenuhnya atau hanya disekat secara geo-lokal untuk pengguna di Malaysia. Apa yang pasti, akses dari dalam negara telah dihentikan dan hanya mesej pelanggaran undang-undang tempatan dipaparkan.

Perkembangan lanjut bergantung kepada hasil prosiding mahkamah yang sedang berjalan, termasuk peluang pembelaan yang akan diberikan kepada pihak Telegram mengikut proses undang-undang sivil.

Related Posts