TDM tegaskan bekas anggota tidak lagi berkhidmat, dakwaan tular tidak berasas | The Reporter

TDM tegaskan bekas anggota tidak lagi berkhidmat, dakwaan tular tidak berasas

Kenyataan media Tentera Darat Malaysia mengenai status pemberhentian bekas anggota
Tentera Darat Malaysia menegaskan penamatan perkhidmatan bekas anggota dibuat mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa bekas anggotanya, Staf Sarjan Vegeneswaran a/l Kaneson, masih berstatus sebagai anggota yang sedang berkhidmat dan menegaskan semua tindakan terhadap individu berkenaan dibuat mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Dalam satu kenyataan media, TDM memaklumkan dakwaan yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok Nambikkai pada 23 Julai lalu itu tidak berasas. Menurut TDM, keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur dan tidak membatalkan sabitan tatatertib terhadap bekas anggota tersebut.

Jelas TDM, bekas anggota berkenaan sebelum ini didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine menerusi ujian saringan yang disahkan oleh Jabatan Patologi Hospital Kepala Batas.

Susulan keputusan mahkamah itu, TDM memaklumkan pihaknya telah menamatkan perkhidmatan beliau secara biasa mengikut Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013 selepas melengkapkan tempoh perkhidmatan penuh selama 18 tahun.

Menurut kenyataan itu lagi, semua tunggakan gaji, elaun dan faedah yang layak telah dibayar serta diterima oleh bekas anggota berkenaan tanpa sebarang bantahan atau pertikaian ketika proses tersebut diselesaikan.

TDM turut menafikan dakwaan bahawa individu terbabit masih berstatus anggota Tentera Darat hanya kerana masih memiliki kad MyTentera. Tegasnya, status seseorang anggota ditentukan berdasarkan undang-undang dan rekod perkhidmatan, bukannya pemilikan kad pengenalan tentera.

Baca juga:
@nambikkaimalaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


PENGHAKIMAN MAHKAMAH RAYUAN DIABAIKAN? ⚖️ ​Sampai bila nasib Staff Sarjan Vegneswaran nak digantung tanpa tali? Walaupun keputusan Mahkamah Rayuan dah jelas memihak kepada beliau, hak dan kebajikan perajurit yang berkhidmat 21 tahun untuk negara masih belum terbela! ​Kami mohon YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin & Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) ambil tindakan segera. ​🗣️ Dengar suara kami! Pertahankan wira negara! ​#KeadilanUntukStaffSarjan #SBKN #KembalikanPencen #ATM #MindefMalaysia

♬ original sound – Nambikkai Malaysia – Nambikkai Malaysia
TDM ingatkan larangan mengemukakan diri sebagai anggota aktif

Menurut TDM, kad MyTentera berkenaan masih berada dalam simpanan bekas anggota itu kerana urusan dokumentasi pemberhentian belum disempurnakan olehnya.

Dalam masa sama, TDM mengingatkan bahawa mana-mana bekas anggota yang telah ditamatkan perkhidmatannya tidak lagi berhak mengemukakan diri sebagai anggota Tentera Darat.

“Sebarang penggunaan kad MyTentera atau pemakaian pakaian seragam tentera bagi menggambarkan seseorang masih berstatus anggota yang sedang berkhidmat boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan tertakluk kepada siasatan serta tindakan undang-undang,” katanya.

TDM turut menegaskan pihaknya sentiasa menghormati setiap keputusan mahkamah dan melaksanakan semua tindakan mengikut lunas undang-undang. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi Angkatan Tentera Malaysia.

Related Posts