Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Empat individu cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 199 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, Sitiawan, malam tadi, apabila kenderaan mereka merempuh tayar lori tangki minyak yang tercabut.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kejadian sekitar jam 8.40 malam itu melibatkan tiga kenderaan iaitu Toyota Yaris, Honda Civic, dan Mercedes.
“Tayar kiri sebuah lori tangki minyak tercabut di tengah jalan dan menyebabkan tiga kenderaan melanggar tayar tersebut,” katanya memetik laporan Harian Metro, Selasa, 21 Januari 2025.
Empat mangsa yang mengalami kecederaan, termasuk seorang wanita berusia 36 tahun yang tersepit di tempat duduk hadapan, berada dalam Toyota Yaris. Penumpang lain termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun turut cedera. Bagaimanapun, pemandu Honda Civic dan Mercedes tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan wanita tersebut yang tersepit. Operasi melibatkan 12 anggota dari Balai Bomba Sitiawan dan Seri Manjung.
Operasi menyelamat tamat pada jam 10.36 malam, dan semua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.








