Pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat kenyataan balas terhadap video tular yang memaparkan tangki air tercemar di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus UMS.
Susulan isu itu juga, pihak UMS telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
“Pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan.
“Pihak JPP mengesahkan kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR), UMS.
“Walau bagaimanapun tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub (tubewell), dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah yang menjadi sumber utama kegunaan harian para pelajar,” tulis kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu juga katanya, pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan para pelajar bagi memastikan kesihatan para pelajar tidak terjejas.
Terdahulu, tular video sebuah tangki menyimpan bekalan air untuk pelajar di UMS dipenuhi ribuan ulat menyebabkan air dalam tangki itu tidak dapat digunakan.
Sumber: Universiti Malaysia Sabah, Kurimasakuti