Tangani isu buli, KPM tambah CCTV dan pembantu warden di sekolah berasrama | The Reporter

Tangani isu buli, KPM tambah CCTV dan pembantu warden di sekolah berasrama

CCTV dan pembantu warden di sekolah berasrama bagi menangani kes buli
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memperincikan beberapa langkah KPM dalam memperkukuh usaha menangani isu buli di sekolah. Gambar: Fadhlina Sidek

Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh usaha menangani isu buli di sekolah menerusi beberapa langkah merangkumi aspek perundangan, pemantauan asrama, pengurusan aduan serta pencegahan dan intervensi awal.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sebahagian langkah berkenaan sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, manakala beberapa inisiatif baharu ditambah bagi menutup ruang kelemahan yang masih dikenal pasti.

Menurutnya, keresahan ibu bapa setiap kali berlaku kes buli perlu diberi perhatian serius kerana mereka meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk memastikan keselamatan anak-anak sepanjang berada dalam sistem pendidikan.

“Setiap kali ibu bapa menghantar anak ke sekolah ada satu kepercayaan yang kita pikul bersama. Mereka mahu anak mereka pulang dalam keadaan selamat. Kepercayaan itu tidak boleh kita ambil mudah,” katanya.

Langkah tangani isu buli

Antara langkah diambil ialah kerjasama KPM dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam penggubalan Akta Antibuli 2026 yang turut memperuntukkan penubuhan Tribunal bagi Antibuli sebagai saluran untuk mangsa mendapatkan pembelaan.

Dalam aspek keselamatan di asrama, sebanyak 200 sekolah berasrama selesai dipasang kamera litar tertutup (CCTV) pada 2025, manakala pemasangan diperluaskan kepada 333 sekolah berasrama pada tahun ini menerusi peruntukan tambahan RM5 juta.

Selain itu, seramai 300 Pembantu Warden MySTEP ditempatkan mulai April lalu bagi membantu pemantauan murid di asrama, terutama pada waktu malam.

KPM turut menggunakan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli yang diperkenalkan pada 2023 sebagai rujukan rasmi sekolah dalam menerima aduan, menjalankan siasatan, mengambil tindakan disiplin serta melaksanakan intervensi.

Pada masa sama, Kerangka S.A.F.E. dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pencegahan, intervensi awal dan pemulihan, termasuk menerusi Pembimbing Rakan Sebaya serta Kaunseling Berfokus.

Saluran aduan buli KPM juga ditambah baik dengan menyediakan fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi menerusi Portal Aduan Buli KPM.

Usaha pencegahan turut diperluaskan melalui Pendidikan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi penekanan terhadap pembentukan nilai dan sahsiah murid, termasuk integriti serta empati.

Ruang untuk dinilai

Fadhlina berkata, setiap kejadian buli perlu menjadi ruang untuk menilai semula keberkesanan langkah sedia ada dan memperbaiki sebarang kelemahan yang dikenal pasti.

“Kalau ada kelompongan, kita baiki. Saya tidak mahu kita mudah berpuas hati dengan apa yang sudah dibuat.

“Selagi ada anak yang belum rasa selamat di sekolah, kerja kita belum selesai,” katanya.

Related Posts