Tak puas hati kerja pembersihan stor senjata punca anggota tentera dipukul | The Reporter

Tak puas hati kerja pembersihan stor senjata punca anggota tentera dipukul

Anggota tentera menerima rawatan kecemasan selepas dipercayai dipukul di kem Batalion Ke-25 RAMD, Pahang.
Gambar: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan insiden seorang anggota tentera parah dipukul di kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD), Pahang pada Isnin lalu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kerja pembersihan stor senjata.

Menurut TDM, siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) bertindak menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota lain di bahagian muka dan perut.

Akibat kejadian itu, mangsa, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD.

Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan kini menerima rawatan rapi dengan bantuan alat pernafasan.

TDM menegaskan pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang menyalahi undang-undang serta peraturan sedia ada. Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi mangsa dan keluarganya.

Baca juga:

Terdahulu, seorang anggota tentera dilaporkan cedera parah dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku di dalam kem tentera di daerah Bentong, Isnin lalu.

Dalam insiden berkenaan, seorang anggota tentera berpangkat koperal disyaki terlibat dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.

Siasatan turut mendapati enam lagi mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian berkenaan.

Susulan itu, polis menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada jam 2.30 petang, 31 Mac bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts