'Syarikat milik Mahadi tiada lesen aktiviti pelaburan' - PDRM | The Reporter

‘Syarikat milik Mahadi tiada lesen aktiviti pelaburan’ – PDRM

Baru-baru ini tular mengenai syarikat pelaburan yang dimiliki oleh suami kepada selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi didakwa tersenarai dalam senarai amaran pelabur oleh Suruhajaya Sekuriti Malaysia (SC). Mahadi Badrul Zaman bagaimanapun terkejut dengan dakwaan itu.

Dalam satu laporan pula menyebut, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengesahkan syarikat milik usahawan tersebut tidak mempunyai lesen.

Berikutan itu juga, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya selari dengan SC bahawa syarikat berkenaan tiada lesen untuk menjalankan aktivitinya.

“Berdasarkan kenyataan dikeluarkan SC bahawa syarikat itu beroperasi tanpa lesen dan kita berpegang kepada perkara sama. Sudah tentu SC lebih mengetahui kerana di bawah bidang mereka.

“Di pihak PDRM, belum ada laporan diterima mengenainya, tapi kita bersama-sama SC menentukan ianya setakat ini tidak berlesen untuk menjalankan kegiatan sedemikian,” katanya.

Modus operandi syarikat pelaburan

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya juga mendedahkan apa segelintir syarikat pelaburan yang melakukan penipuan dengan menerima pelaburan tinggi sebelum menghentikan operasi.

“Bukan hanya syarikat itu sahaja, tetapi syarikat lain juga. Ada syarikat yang ditubuhkan untuk terima pelaburan kemudian berhenti separuh jalan dengan alasan disiasat PDRM, disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) atau berhadapan tindakan bangkrap. Pelabur habis puluhan dan ratusan ribu ringgit.

“Jadi habis yang melabur puluhan ribu, ratus ribu, jutaan ringgit dan sebagainya. Ia boleh dinoktahkan begitu saja. Sebab itu kita perlu ada jaminan dan pengetahuan mengenai pelaburan,” katanya.

Susulan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan melakukan semakan terlebih dahulu mengenai sesebuah syarikat pelaburan.

“Saya minta semua bakal pelabur untuk tahu implikasi melabur dalam syarikat tidak berlesan untuk tujuan itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Related Posts