Sultan Selangor titah isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti | The Reporter

Sultan Selangor titah isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pandangan berhubung isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Gambar: Utusan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M.) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menzahirkan pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dengan menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah, pembangunan di kawasan Kampung Baru tidak menjadi halangan sekiranya ia dibuat selaras dengan peredaran zaman, namun ia perlu dilaksanakan dengan teliti, berhemah dan berpandukan syarat-syarat yang jelas serta berpihak kepada masyarakat Melayu.

“Selepas membaca maklum balas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu. Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu,” titah baginda.

Sejarah dan Warisan Kampung Baru

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan semua pihak bahawa sejarah penubuhan dan warisan Kampung Baru tidak boleh diketepikan dalam setiap pertimbangan berkaitan pembangunan kawasan itu.

“Kampung Baru telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda Beta, Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S),” titah baginda.

Baginda turut mengimbas susur galur sejarah penting orang Melayu di Kampung Baru, termasuk pengalaman peribadi baginda yang pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di kawasan itu ketika ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masih menjadi Raja Muda Selangor.

Selain itu, Allahyarham ayahanda kepada D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir dan membesar di Kampung Baru.

Baca juga:
Simbol Kebangkitan Orang Melayu

Titah baginda lagi, Kampung Baru pernah menjadi nadi pembangunan Kuala Lumpur serta saksi kepada pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Melayu dan negara.

Antaranya, Kelab Sultan Sulaiman yang menjadi lokasi Kongres Melayu Se-Malaya pada 1946 sehingga membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Semasa tragedi 13 Mei 1969, kelab tersebut turut dijadikan tempat perlindungan bagi orang Melayu.

Padang Kelab Sultan Sulaiman juga pernah digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum adanya Stadium Merdeka, manakala kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor suatu ketika dahulu turut terletak di Kampung Baru.

Masjid Jamek Kampong Bharu pula kekal sebagai lambang persefahaman apabila ia tidak dipindahkan sejak dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

“Sesungguhnya, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900. Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,” titah baginda.

Related Posts