Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan memberi perhatian serius terhadap kes buli yang telah beberapa kali dilaporkan berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda memandang serius kes buli ini dan bertitah menegaskan budaya ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Isu ini bukan pertama kali dilaporkan, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa,” titah Baginda.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda turut bertitah di dalam pasukan tentera latihan keras adalah perkara biasa bagi tujuan untuk membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat sebagaimana yang pernah dilalui Baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan di Istana Negara, hari ini (12 November).