'Sudah tiba masa UMNO akui kelemahan tadbir urus Tabung Haji' - KJ | The Reporter

‘Sudah tiba masa UMNO akui kelemahan tadbir urus Tabung Haji’ – KJ

Khairy Jamaluddin bercakap mengenai isu kegagalan tadbir urus Tabung Haji dan reformasi UMNO
Khairy Jamaluddin berkata pengakuan terhadap kelemahan Tabung Haji penting untuk menunjukkan kematangan dan perubahan UMNO.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata sudah tiba masanya UMNO berterus terang mengakui wujud kegagalan tadbir urus dan tata kelola dalam pengurusan Tabung Haji seperti yang didedahkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bukannya terus mencari alasan bagi menutup kelemahan yang berlaku.

Beliau berkata, pengakuan terhadap kelemahan itu penting sebagai tanda kematangan politik serta menunjukkan kesediaan parti untuk melakukan perubahan dan pemulihan.

Menurutnya, walaupun isu berkenaan mungkin sukar dibangkitkan ketika kempen pilihan raya kerana boleh dianggap sebagai mengakui kelemahan, perkara itu perlu dibincangkan secara terbuka terutama menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Sudah tiba masanya untuk kita kata, baiklah, mungkin semasa kempen pilihan raya kita terpaksa cakap tiada masalah, kita bagi hibah lebih, kita kekalkan subsidi penuh untuk muasasah dan sebagainya.

“Tetapi sekarang saya fikir sudah tiba masanya untuk berterus terang dan mengatakan memang ada kegagalan dari segi tadbir urus,” katanya.

Pemulihan parti

Khairy berkata, sekiranya UMNO mengambil pendirian untuk mengakui kelemahan tersebut, ia boleh menjadi satu langkah awal ke arah pemulihan parti kerana menunjukkan kesediaan untuk memperbaiki kesilapan.

Baca juga:

Beliau berkata, UMNO tidak seharusnya menganggap kemenangan atau sokongan semasa sebagai bukti bahawa proses reformasi tidak diperlukan, sebaliknya perlu mengambil peluang untuk melakukan penambahbaikan.

“Ketika sedang menang dan gelombang sokongan masih baik, inilah peluang untuk menunjukkan kematangan dan kesediaan merendah diri serta menginsafi kekurangan,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

Manfaatkan peluang

Dalam pada itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ketika UMNO sedang menikmati kemenangan dan berada dalam gelombang sokongan yang baik, keadaan itu sepatutnya dimanfaatkan untuk menunjukkan kematangan politik, selain kesediaan merendah diri serta menginsafi segala kekurangan.

Beliau berkata, UMNO tidak seharusnya menjadikan sokongan semasa sebagai alasan bahawa proses reformasi, permohonan maaf atau usaha memperbaiki diri tidak lagi diperlukan, sebaliknya perlu melihat kelemahan yang berlaku sebagai ruang untuk perubahan.

“Ini soal kelestarian momentum politik. Anda sentiasa kena sedar benda ini boleh berubah semula. Jadi apabila ada peluang untuk memperbaiki keadaan, jangan lepaskan peluang yang ada,” katanya.

Shahril berkata, isu berkaitan Tabung Haji juga bukan sekadar berkaitan politik, sebaliknya melibatkan sebuah institusi penting.

Related Posts