Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita bersama dua anaknya yang masih kecil dilaporkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Bentan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kereta yang dinaiki tiga beranak itu, Perodua Alza, dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah treler di jalan bertentangan pada jam 2.25 pagi, Jumaat, 15 Disember 2023.
Kamalangan itu menyebabkan kereta mangsa diseret dan merempuh besi penghadang jalan yang menjadi punca kesemua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Difahamkan, Nor Faizah, 34, bersama dua anaknya, Muhammad Hariz Adrian, 10, dan Muhammad Hafiy Azman, 3, dalam perjalanan pulang ke Kampung Tawang di Bachok, sempena cuti sekolah.

Sementara itu, suami mangsa, Koperal Mohd Azman Mat Yaacob, 36, berkata, sebelum menerima perkhabaran itu, timbul rasa tidak sedap hati. Apatah lagi selepas melihat live location yang dikongsi oleh isterinya melalui aplikasi WhatsApp tidak bergerak.
Mohd Azman turut menghantar mesej di WhatsApp, tetapi tidak dibalas. Malah, panggilannya pada telefon isteri dan anak-anak juga tidak dijawab.
Sehinggalah dia menerima panggilan daripada polis daerah Lipis pada jam 4 pagi memaklumkan kejadian yang menimpa isteri dan anak-anaknya.
“Ikutkan mereka berada di kampung sehingga hujung bulan ini kerana cuti sekolah. Saya akan menyusul untuk menjemput mereka pulang kerana tidak dapat bercuti lama,” katanya.
Tambahnya, Nor Faizah sepatutnya bertolak pada waktu siang, tetapi menukar fikiran untuk bertolak pada waktu malam. Selain itu, ini merupakan kali pertama isterinya memandu untuk perjalanan jauh dan Mohd Azman mengizinkan memandangkan mereka sudah lama tidak pulang ke kampung.
Sumber: Sinar Harian