'Suami minta tidak ditidurkan' - Isteri Hamdan dedah permintaan Hamdan teruja mahu bertemu peminat - The Reporter

‘Suami minta tidak ditidurkan’ – Isteri Hamdan dedah permintaan Hamdan teruja mahu bertemu peminat

Sumber gambar: The Star, Utusan Malaysia

Pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli, disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah dan kini ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Menurut anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, disebabkan jangkitan kuman yang tinggi keadaan bapanya tidak stabil, selain mengalami masalah paru-paru berair dan jantung lemah.

Walaupun dalam keadaan sakit, isteri Hamdan, Normahalini Ahmed berkata suaminya sangat bersemangat dan teruja untuk beraksi bersama anggota Senario selain menyuarakan hasrat mahu bertemu peminat di dalam program Wonderful Night With Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru, Johor, sempena ambang 2024.

Bagaimanapun, dia terpaksa memujuk suami agar tidak beraksi pada acara itu, sebaliknya, meneruskan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Suami tidak mahu ke hospital, malah, minta tidak ditidurkan kerana mahu meneruskan persembahan sempena ulang tahun ke-27 kumpulan Senario… Dia mahu bertemu peminat.

“Dia sangat teruja… Tiada tanda-tanda sakit. Jadi, kami mohon peminat mendoakan agar suami cepat sembuh.

“Suami ada penyakit kencing manis. Namun, saya pasti, dia datang ke sini (Johor Bahru) tiada masalah kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Azlee Jaafar yang juga merupakan ahli kumpulan Senario berkata, dia dan teman-teman Senario risau memikirkan kesihatan Hamdan apatah lagi mereka persis adik-beradik.

“Semalam genap ulang tahun kumpulan Senario yang ke-27.. Suatu tempoh panjang di mana kami seperti adik-beradik.

Banyak perancangan dibuat bersama anggota Senario

“Tahun ini, kami merancang buat penggambaran Senario Legend termasuk bersama Lan Pet Pet. Perkhabaran (Hamdan ditidurkan) adalah perkara yang menyedihkan buat kami.

“Ini semua ujian. Kami hanya mampu berdoa dan mengharapkan doa semua rakyat Malaysia agar Hamdan segera sembuh dan sihat,” katanya.

Sementara itu, Pak Ya atau nama sebenar, Illya Buang, mengandaikan perjalanan jauh ditempuh Hamdan yang datang dari Ipoh, Perak ke Jenjarum, Selangor, bagi menghantar anak, sebelum bergerak ke Johor Baharu, memberi kesan kepadanya.

“Mungkin perjalanan 12 jam dari Ipoh ke Johor Bahru sangat panjang dengan jalan yang sesak.

“Keluarga Hamdan tiada saudara-mara di Johor. Mereka mengharapkan kami. Saya harap ada pihak yang sudi membantu memudahkan urusan keluarga Hamdan.

“Saya mohon doa peminat dan semua rakyat Malaysia agar Hamdan sembuh seperti biasa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!