Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Menara Ilham yang dimiliki oleh keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin disita Isnin lalu.
Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997. Yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM). Dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ). Berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Akaun dibekukan
Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta. Antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.
Terdahulu, media melaporkan satu notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib. Di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham. Di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih. Selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.
“Menurut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009, mana-mana orang yang melanggar kehendak notis ini atau melakukan apa-apa perbuatan yang menghasilkan, atau menyebabkan, pelanggaran terma notis ini adalah melakukan suatu kesalahan.
“Dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta yang berkenaan atau RM50,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” menurut notis itu lagi.
Menara Ilham merupakan pencakar langit terletak di Jalan Binjai di ibu negara. Bangunan 60-tingkat itu merupakan antara yang tertinggi di Malaysia.
Sumber: Astro Awani, Berita Harian