Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Penarafan terhadap Anwar naik kepada 55 peratus, tanda kepercayaan rakyat semakin pulih
• Langkah ekonomi seperti subsidi dan gaji minimum bantu redakan kebimbangan kos sara hidup
• Tinjauan juga rekod peningkatan kepercayaan rakyat terhadap hala tuju negara dan kerajaan
Sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan peningkatan ketara apabila tinjauan Merdeka Center pada Mei 2025 merekodkan 55 peratus penarafan positif. Angka ini melonjak sebanyak 12 mata peratusan berbanding 43 peratus yang dicatat pada Jun 2024, mencerminkan perubahan sentimen rakyat terhadap kepimpinan kerajaan MADANI.
Dalam dapatan kaji selidik tersebut, responden dilihat semakin yakin dengan hala tuju pentadbiran negara. Faktor seperti kestabilan politik, pengukuhan majoriti dua pertiga di Parlimen, serta pelaksanaan reformasi institusi seperti pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen, memberi isyarat bahawa pentadbiran kini bergerak ke arah tadbir urus yang lebih berprinsip.
Bukan hanya dari aspek politik, sokongan ini turut dipengaruhi oleh langkah-langkah ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan tunai semasa musim perayaan dan keputusan mengekalkan subsidi minyak walaupun berlaku penarikan subsidi diesel tahun lalu, semuanya menyumbang kepada perubahan pandangan pengundi.
Kadar inflasi yang kekal rendah pada 1.4 peratus dan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus dalam suku pertama 2025 turut memberikan kelegaan kepada ramai. Merdeka Center menyatakan keprihatinan terhadap kos sara hidup masih wujud, namun semakin reda apabila tiada kejutan besar dalam harga bahan api selepas penarikan subsidi.
Sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan turut mencatat peningkatan daripada 40 peratus kepada 50 peratus. Sementara itu, tahap ketidakpuasan rakyat menurun daripada 58 peratus kepada 48 peratus. Perubahan ini dilihat berpunca daripada kombinasi antara bantuan ekonomi, pengurusan inflasi dan persepsi bahawa kerajaan lebih stabil berbanding setahun lalu.
Dalam konteks antarabangsa, peranan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan menjadi tuan rumah kepada Presiden China, Xi Jinping, turut membantu mengukuhkan imej Malaysia. Pelaburan asing, kerjasama perdagangan serta peranan aktif dalam inisiatif Selatan Global dilihat sebagai pengukuh keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Tinjauan ini dijalankan ke atas 1,208 pengundi berdaftar antara 12 hingga 23 Mei lalu, melibatkan pelbagai latar belakang kaum yang mewakili komposisi pengundi nasional. Penemuan turut menunjukkan penurunan dalam jumlah rakyat yang percaya negara menuju ke arah salah, dari 61 peratus kepada 50 peratus. Dalam masa sama, mereka yang yakin negara berada di landasan betul meningkat kepada 43 peratus.
Sumber: Bernama








