Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin tampil menjelaskan situasi sebenar yang menimpa anak saudaranya, Amad Dayyan, ketika berlangsungnya pentas akhir program ‘Talk To My Manager’ malam tadi.
Menerusi satu kenyataan di Instagram, Siti memaklumkan bahawa Amad sebenarnya berada dalam keadaan baik dan bersedia sepenuhnya untuk membuat persembahan pada malam tersebut. Namun, sesuatu di luar jangkaan telah berlaku sewaktu siaran langsung berkenaan.
“Sesi latihan Amad bersama Nadeera berjalan dengan baik. Kondisi Amad dalam keadaan sihat dan fit untuk persembahan. Namun takdir berkata lain pada hari persembahan Grand Finale,” tulisnya.
Baca juga:
- Siti Nurhaliza jelaskan keadaan Amad ketika Grand Finale TTMM
- Alif Satar tak sabar nak keluar mengundi lepas isu arak dalam majlis rasmi
- ‘Tiba masa saya jadi Dangdut Superstar!’ – Leona tunjuk bakat menari
Tambah pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu, keluarga terdekat mengetahui apa yang berlaku dan menegaskan bahawa insiden berkenaan bukan berpunca daripada faktor kesihatan, tekanan mahupun komen negatif daripada mana-mana pihak.
“Sebagai ahli keluarga, kami mengetahui apa yang berlaku. Ia bukan faktor kesihatan, kesan dari komen-komen atau penat, tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya dalam kehidupan ini ada hal-hal luar dugaan dan tak masuk akal, tetapi itulah hakikatnya,” jelasnya lagi.
Siti turut berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kejadian yang berlaku, sebaliknya menghormati situasi yang dihadapi oleh Amad.
“Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam pasti tahu apa yang berlaku. Untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu,” katanya.
Terdahulu, nama Amad menjadi sebutan susulan kejadian tidak dijangka di pentas akhir Talk To My Manager yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton dan netizen.
Pada pentas akhir berkenaan, Amad membawakan lagu Cinta Kerana Cinta nyanyian asal Judika, serta berduet bersama Nadeera menerusi lagu Bukan Lagi Kita.
Ketika persembahan pertama, penonton di rumah khususnya tertanya-tanya tentang kelibat Amad apabila hanya kelihatan para penari berada di atas pentas. Tidak lama kemudian, Amad muncul untuk menyampaikan nyanyiannya, namun kelihatan seolah-olah menahan kesakitan sehinggalah pada persembahan kedua, Pak Nil selaku pengacara pada malam tersebut dilihat memegang Amad.