Singapura paling liat nak bayar saman trafik di Malaysia, RM4.5 juta masih tertunggak - The Reporter

Singapura paling liat nak bayar saman trafik di Malaysia, RM4.5 juta masih tertunggak

Kenderaan asing di Malaysia masih berhutang saman trafik RM4.5 juta.
Pemandu Singapura paling liat nak jelaskan saman di Malaysia. | Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Lebih 49,000 saman trafik dikeluarkan kepada kenderaan asing sejak 2022 hingga November tahun lalu, namun lebih 90 peratus masih belum dijelaskan. Singapura mencatat jumlah tertinggi dengan 28,642 saman tertunggak, diikuti Thailand, Brunei dan Indonesia.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, daripada 49,598 saman yang dikeluarkan, hanya 8,593 dibayar, manakala 41,005 masih tertunggak.

Senarai negara dengan tunggakan saman tertinggi:

  • Singapura: 33,033 saman, 28,642 belum dijelaskan
  • Thailand: 7,725 saman, 6,589 belum dibayar
  • Brunei: 5,917 saman, 3,721 belum dibayar
  • Indonesia: 772 saman, 585 belum dijelaskan
  • Lain-lain negara: 2,151 saman, 1,468 masih belum dibayar

Kesalahan paling banyak dilakukan pemandu asing ialah memandu laju (33,226 saman), selain abai lampu isyarat, halangan lalu lintas dan memotong barisan.

Malaysia perlu tiru Singapura

Pakar kejuruteraan pengangkutan dari UKM, Dr Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim, menyarankan agar Malaysia mengikut jejak Singapura, yang mewajibkan bayaran saman sebelum kenderaan asing dibenarkan meninggalkan negara.

“Malaysia boleh seragamkan sistem nombor plat dan pangkalan data trafik bagi memudahkan penguatkuasaan. Jika mereka ada saman, jangan benarkan mereka keluar sebelum menjelaskannya,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerjasama dwi hala dengan negara jiran seperti Thailand, Singapura, dan Indonesia bagi memastikan pemilik kenderaan asing tidak dapat lari dari membayar saman mereka.

Penguatkuasaan perlu lebih cekap

Presiden PPJK, Fahami Ashrof Badaruddin, pula mencadangkan penggunaan pengimbas nombor plat dan sistem pemantauan yang lebih cekap supaya pesalah trafik asing dapat dikesan lebih awal.

“Sekarang ini, mereka boleh masuk dan keluar sesuka hati walaupun ada saman. Jika sistem diperketatkan, mereka akan lebih berhati-hati dan membayar saman seperti sepatutnya,” katanya.

Sejak 2014, PDRM telah menjalankan 14 Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) di beberapa negeri sempadan. Namun, tanpa sistem pemantauan yang lebih ketat, masih ramai yang terlepas.

Bagi memudahkan pembayaran, portal MyBayar PDRM telah dibangunkan, membolehkan pesalah trafik menyemak dan membayar saman secara online di https://mybayar.rmp.gov.my atau melalui aplikasi di Google Playstore, Apple AppStore dan Huawei AppGallery.

Sumber: Harian Metro (Yusmizal Dolah Aling, Muhaamad Hafis Nawawi dan Muhammad Saufi Hassan)

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!