Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan telah mengarahkan supaya siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa keputusan sama turut diambil bagi himpunan yang dianjurkan oleh ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang berlangsung di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh minggu lalu.
“Tindakan polis sebelum ini, iaitu siasatan terhadap semua mahasiswa yang terlibat dalam himpunan bebas rasuah, telah dihentikan dan tiada sebarang tindakan akan diambil.
“Begitu juga dengan mogok lapar, bantahan atau tunjuk perasaan berkaitan Sosma, pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Terdahulu, polis telah membuka kertas siasatan berhubung himpunan yang dianjurkan oleh ahli keluarga tahanan Sosma di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh serta terhadap mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah bulan lalu.
Kerajaan Kekal Dengan Sosma, Perlu Untuk Keselamatan Negara
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Khoo mengenai kemungkinan kerajaan memansuhkan Sosma, Anwar menegaskan bahawa akta tersebut masih diperlukan, terutamanya dalam usaha mengawal dan membendung ancaman keganasan.
“Tiada negara yang terkecuali daripada ancaman keganasan. Di Malaysia, perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kita telah melihat kes di mana anggota polis ditembak mati.
“Bagi kes seperti itu, undang-undang yang tegas dan keras perlu dikuatkuasakan. Tiada negara di dunia ini yang tidak mempunyai undang-undang sebegini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Kota Melaka bahawa pelaksanaan Sosma haruslah dilakukan dengan jelas dan tidak disalahgunakan untuk tujuan lain, sebagaimana yang pernah berlaku dalam kes Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.
Sumber: Harian Metro