Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pihak pengurusan stesen minyak Shell Beseri di Kangar, Perlis merayu kepada individu yang dipercayai mengambil kucing peliharaan mereka, dikenali sebagai Misai, supaya memulangkannya semula ke stesen berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di media sosial stesen tersebut, kucing berwarna hitam dan putih itu merupakan haiwan kesayangan para pekerja dan sudah lama dijaga di kawasan stesen.
“Kalau ada siapa terambil, kami maafkan. Tapi mohon jasa baik hantar balik ke stesen. Kami ada rakaman CCTV dan kami rindu kucing kesayangan kami. Misai juga ada penyakit FIP dan dia tak sihat, kami tengah rawat dia,” menurut kenyataan itu.
Pihak stesen turut menjelaskan bahawa laporan polis akan dibuat berhubung kejadian berkenaan, namun mereka masih berharap individu terbabit dapat memulangkan kucing itu secara baik.
“Esok staff akan pergi buat laporan polis. Tapi kalau Tuan Hilux yang ambil Misai nampak video ini, kami mohon jasa baik Tuan. Kalau Tuan teringin nak bela dia, kami izinkan, tapi biarlah kami selesaikan rawatan dulu.
“Selesai rawatan, silakan datang bela dia, sayanglah dia. Ambil sekali makanan wetfood dia, vitamin dia, baju-baju dia,” tambah kenyataan itu.
Baca juga:
- Lelaki maut terlanggar kuda melintas di Merlimau
- Shell Beseri mohon ‘Misai’ dipulangkan, masih dalam rawatan FIP
- ‘Belum kahwin dah minta gambar bukan-bukan’ – Netizen kecam bakal pengantin
Menurut pihak Shell Beseri, Misai merupakan kucing yang sangat manja dan sering menjadi perhatian pelanggan tetap yang singgah ke stesen tersebut.
“Kami tak pernah kurung dia walaupun dia sakit sebab pelanggan suka belai dan bermain dengannya. Misai biasanya duduk di luar sebab musim hujan, tapi penduduk sekitar tahu dia memang kucing stesen minyak kami,” jelas mereka lagi.
Pihak stesen menegaskan bahawa mereka tidak berniat menuduh mana-mana pihak, sebaliknya percaya individu berkenaan mungkin tidak mengetahui bahawa kucing tersebut dijaga oleh pekerja stesen.
“Kalau Tuan rasa tak nak bela nanti, kami mohon jangan buang dia di tempat lain. Hantarlah balik ke stesen kami,” rayu pihak pengurusan Shell Berseri.









