Sharnaaz Ahmad dilepas & dibebaskan daripada kes cedera Pak Guard - The Reporter

Sharnaaz Ahmad dilepas & dibebaskan daripada kes cedera Pak Guard

Pelakon, Sharnaaz Ahmad dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium tahun lalu.

Walaupun kes berkenaan memakan masa yang lama,namun dia bersyukur dan menerima perkara tersebut dengan penuh keikhlasan.

Dia berkata, kebebasan menjadi miliknya, selepas lebih setahun dibelenggu dengan masalah terbabit.

“Alhamdulillah, berkat hari Jumaat, biarpun kes ini dianggap remeh tapi ia menyentuh reputasi dan perjalanan karier saya, yang kini memasuki belasan tahun.

“Di masa akan datang, kena fikir banyak kali, tak mahu buat perangai lagi, sebenarnya, saya dah banyak belajar, tapi itulah, masih bodoh lagi (melakukan kesilapan),” katanya.

Muhasabah diri

Selepas ini, dia berkata akan bercuti dengan anaknya dan bermuhasabah diri kerana masih bersikap keanak-anakan, biarpun kian menghampiri usia 40 tahun.

Sementara itu, ketika prosiding, peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz berkata, pembelaan telah menerima maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dihantar 2 Mei lalu.

Menurutnya, pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan terhadap Sharnaaz akan ditarik balik. Selain daripada Wan Azmir, Sharnaaz turut diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

“Pengadu telah membuat laporan polis berhubung penarikan kes ini maka saya mohon satu keputusan lepas dan bebas diberikan kepada Sharnaaz,” katanya.

Dilepas tanpa dibebaskan

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal kemudiannya mengesahkan pihak pendakwaan mendapat arahan daripada pihak atasan, supaya Sharnaaz dilepas tanpa dibebaskan daripada kes berkenaan.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudiannya melepas dan membebaskan Sharnaaz selaku Orang Kena Saman (OKS) daripada satu pertuduhan berkenaan.

“Mahkamah berpuas hati dengan hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, maka OKS dilepas dan dibebaskan, sementara wang jaminan dikembalikan,” kata majistret itu.

Pada 18 Januari lalu, pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ itu mengaku tidak bersalah atas satu dakwaan, sengaja menyebabkan kecederaan kepada Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu di sebuah kondominium, di Jalan Dutamas di sini pada jam 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 2 Mei lalu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni di sebuah kondominium.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!