Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di Indonesia, sorok dadah dalam korset | The Reporter

Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di Indonesia, sorok dadah dalam korset

Pihak berkuasa Indonesia merampas syabu dan pil ekstasi yang ditemui disorok dalam korset suspek warga Malaysia di Lapangan Terbang Juanda.
Gambar: Jakarta Globe

Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di Indonesia selepas pihak berkuasa menemui hampir satu kilogram (kg) methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi yang dipercayai disembunyikan di bawah korset di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Sidoarjo, Jawa Timur.

Memetik laporan Jakarta Globe, Suspek berusia 22 tahun yang dikenali dengan inisial DI ditahan di Terminal 2 selepas tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan Batik Air OD 352 ke Surabaya, menurut laporan media Indonesia.

Hasil pemeriksaan mendapati empat bungkusan mengandungi 990 gram methamphetamine, selain empat bungkusan lain berisi 1,089 pil ekstasi yang disorok di bawah korset yang dililit pada badan suspek.

Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, suspek cuba menyembunyikan bahan terlarang itu bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

“Suspek cuba menyembunyikan narkotik di bawah korset yang dipakainya untuk mengelak pemeriksaan, namun cubaan itu berjaya digagalkan,” katanya.

Baca juga:

Siasatan awal mendapati DI dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah untuk rangkaian antarabangsa selepas mendakwa terdesak akibat masalah kewangan dan hutang.

Pihak berkuasa menganggarkan nilai rampasan dadah itu sekitar Rp2.79 bilion (kira-kira lebih RM600,000) dan mampu menghalang pengedaran kepada lebih 6,500 pengguna.

Kes itu merupakan insiden kedua membabitkan warga Malaysia dalam tempoh terdekat selepas seorang juruterbang komersial Malaysia turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana didakwa cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia.

Related Posts