Seorang lagi maut dalam insiden tembakan di Tanjung Rhu, dua suspek ditahan | The Reporter

Seorang lagi maut dalam insiden tembakan di Tanjung Rhu, dua suspek ditahan

Tembakan di Tanjung Rhu
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lagi lelaki warga asing yang terlibat dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dengan kematian terbaharu ini, jumlah korban meningkat kepada dua orang.

Susulan siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki warga asing yang dipercayai berada dalam bot semasa kejadian. Mereka ditangkap dalam operasi khas di Pulau Carey, Kuala Langat baru-baru ini.

“Pasukan Gerakan Am berjaya menahan beberapa individu yang bersembunyi di Pulau Carey, dan dua daripada mereka disyaki terlibat dalam insiden tembakan ini,” katanya dalam sidang media Op Palu di Batu Caves, hari ini.

Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada 31 individu, dan kertas siasatan telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Pihak berkuasa juga mendapatkan kerjasama Kedutaan Indonesia bagi mengesan seorang lagi individu warga asing yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Insiden ini berpunca apabila bot yang dipercayai milik suspek bertindak melanggar bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor semasa rondaan di perairan Tanjung Rhu pada jam 3 pagi, 23 Januari lalu.

Sumber: Harian Metro

Related Posts