'Semakin ramai berbahasa inggeris di rumah, berbanding bahasa melayu' - Lelaki Jerman | The Reporter

‘Semakin ramai berbahasa inggeris di rumah, berbanding bahasa melayu’ – Lelaki Jerman

Michael Luebke bersama keluarganya

Michael Luebke, warga Jerman yang menetap di Hamburg bersama isterinya, Husna Hisan Md Nor (Malaysia), telah menarik perhatian ramai dengan pandangannya mengenai penggunaan Bahasa Melayu.

Pasangan ini aktif mempromosikan budaya Melayu dalam keluarga mereka walaupun berada jauh di Jerman.

Luebke meluahkan kebimbangannya terhadap trend semakin ramai rakyat Malaysia yang cenderung bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah berbanding bahasa ibunda mereka, Bahasa Melayu.

“Saya perhatikan ada yang tidak lagi bertutur dalam Bahasa Melayu di rumah. Sebaliknya lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris.

“Dahulu, rakyat Malaysia berjuang mempertahankan budaya dan bahasa, tetapi kini ramia yang seakan-akan melupakan usaha tersebut,” katanya

Beliau menegaskan, bahasa adalah cerminan budaya dan identiti sesebuah bangsa. Memelihara bahasa ibunda adalah penting untuk mengekalkan keunikan dan keluhuran tamadun Malaysia.

Luebke yang telah mempelajari Bahasa Melayu, mendapati bahasa tersebut menarik dan mudah dipelajari. Beliau dan isterinya aktif mempromosikan budaya Melayu dalam keluarga mereka, walaupun berada jauh di Jerman. Malah, mereka akan memastikan anak-anak bertutur dalam Bahasa Melayu di rumah untuk mengekalkan budaya dan identiti Malaysia.

Perlu seimbang

Ramai netizen yang teruja dan berterima kepada Luebke kerana prihatin terhadap budaya dan bahasa Malaysia walaupun dia adalah warga asing. Netizen bersetuju, Bahasa Melayu perlu dipelihara dan digunakan dengan lebih meluas dalam kehidupan seharian.

Namun, tidak kurang juga netizen berpendapat penggunaan bahasa Inggeris adalah penting dalam dunia globalisasi dan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada Bahasa Melayu. Kedua-dua bahasa boleh digunakan secara seimbang tanpa mengabaikan identiti budaya.

Kajian membuktikan trend ini memang berlaku

Pandangan Luebke mengenai penurunan penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia memang ada asasnya. Beberapa kajian dan laporan telah menunjukkan trend ini berlaku.

Kajian oleh Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati ramai pelajar universiti lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Bahasa Inggeris dianggap lebih sesuai dan penting untuk pendidikan tinggi, manakala Bahasa Melayu dan bahasa vernakular lain dilihat penting untuk perpaduan nasional dan identiti budaya.

Laporan oleh Malay Mail menyatakan bahawa penggunaan Bahasa Melayu semakin berkurangan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya dalam konteks formal dan pendidikan. Ini disebabkan oleh peningkatan penggunaan bahasa Inggeris yang dianggap lebih relevan dalam dunia globalisasi.

Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menunjukkan bahawa terdapat penurunan dalam penguasaan Bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pelajar, yang mana ini boleh menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan sekolah.

Walaupun terdapat usaha untuk mempromosikan dan memperkasakan Bahasa Melayu, cabaran tetap wujud dalam memastikan bahasa ini terus digunakan secara meluas dan dihargai oleh generasi muda.

Sumber: Astro Awani, Malay Mail, USM

Related Posts