Selangor batal projek ternakan babi Bukit Tagar susulan bantahan keras penduduk | The Reporter

Selangor batal projek ternakan babi Bukit Tagar susulan bantahan keras penduduk

Selangor batal projek ternakan babi Bukit Tagar susulan bantahan keras penduduk.
Bantahan keras penduduk mendorong kerajaan Selangor membatalkan projek ternakan babi Bukit Tagar. | Gambar: Focus Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Cadangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bersama bantahan keras penduduk setempat menjadi pemangkin utama keputusan kerajaan negeri Selangor membatalkan sementara perancangan projek ternakan babi di Bukit Tagar.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata reaksi kuat masyarakat sekitar kawasan berkenaan telah pun dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum Perdana Menteri menyuarakan cadangannya secara terbuka.

“Sebenarnya sebelum PM (perdana menteri) maklumkan kepada kita hari Rabu (minggu lalu), MMKN memang telah memberi arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif sebab kita lihat ada bantahan keras di kawasan Bukit Tagar. Kemudian diikuti dengan cadangan PM yang saya sambut baik,” katanya.

Baca juga:

Menurut Amirudin, bantahan tersebut tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan kebimbangan terhadap faktor persekitaran serta sensitiviti sosial pelbagai kaum di kawasan terlibat. Justeru, kerajaan negeri memilih untuk menghentikan sementara cadangan berkenaan bagi mengelakkan ketegangan berpanjangan.

Beliau mengakui pengumuman awal mengenai projek itu telah mencetuskan persepsi seolah-olah ia hampir dilaksanakan, sedangkan tiada keputusan muktamad dibuat. Keadaan itu, katanya, mendorong polemik meluas dan menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri gagal mengambil kira pandangan rakyat.

Mengulas dakwaan bahawa projek tersebut berskala besar, Amirudin menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai keterlaluan. Sebaliknya, beliau menegaskan keputusan membatalkan sementara projek di Bukit Tagar adalah langkah berhati-hati bagi meredakan bantahan keras serta memastikan sebarang perancangan masa depan dibuat dengan lebih teratur dan sensitif terhadap kehendak rakyat.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts