Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat dijab kabul dalam majlis penuh istiadat di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada pukul 8.48 malam, Khamis.
Pasangan Pengantin Diraja itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz dengan mas kahwin senaskhah al-Quran.
Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya, pasangan mempelai sama cantik dan sama padan itu tampak segak dan anggun mengenakan busana berwarna putih.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula dilihat mengenakan sepersalinan sedondon berwarna hijau.
Terdahulu, bacaan khutbah nikah disampaikan oleh Mufti Negeri Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Selepas Istiadat Akad Nikah, majlis diteruskan dengan Istiadat Penyerahan Mas Kahwin dan Istiadat Merenjis.
Istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada esok, manakala Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad ini.
Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober di Istana Abdulaziz.








