'Saya tercengang, suspek acu pistol dan lepaskan tembakan ke arah dinding' - Pemandu Ativa | The Reporter

‘Saya tercengang, suspek acu pistol dan lepaskan tembakan ke arah dinding’ – Pemandu Ativa

Suspek acu pistol di Setia Alam
Foto: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki dan keluarganya berdepan detik mencemaskan apabila dipaksa menaiki kereta bersama suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Sabtu lalu. Suspek yang bersenjata api itu mengacukan pistol dan mengarahkan mereka beredar dari lokasi kejadian sebelum diturunkan di tepi lebuh raya.

Menurut pemandu Perodua Ativa yang enggan dikenali, insiden berlaku ketika dia bersama isteri dan empat anak sedang makan di sebuah restoran di pusat beli-belah terbabit sebelum keadaan tiba-tiba menjadi kecoh.

“Pengawal keselamatan mengarahkan semua pengunjung segera keluar. Waktu itu, kami tidak tahu apa yang berlaku. Saya segera membawa keluarga ke tempat parkir, tetapi terdengar bunyi letupan yang pada mulanya saya sangka bunyi kereta melanggar bonggol,” katanya.

Namun, sebaik tiba di parkir, seorang lelaki tidak dikenali berdiri di sebelahnya dan terus mengacukan pistol.

“Saya tercengang. Suspek malah melepaskan tembakan ke arah dinding untuk menunjukkan bahawa pistol itu benar-benar berfungsi,” katanya.

Lelaki itu berkata, mereka sekeluarga dipaksa masuk ke dalam kereta, manakala suspek duduk di bahagian belakang.

“Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut. Dia kemudian mengarahkan saya memandu ke laluan tertentu sebelum turun di tepi lebuh raya. Sepanjang 45 minit dalam kereta, kami hanya menurut arahan kerana bimbang keselamatan keluarga,” katanya.

Sebelum melarikan diri, suspek turut mengambil kad memori dari kamera papan pemuka (dashcam) kereta berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan memiliki 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah serta dadah.

“Suspek telah dikenal pasti melalui siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja pembersihan pusat beli-belah tersebut cedera akibat terkena tembakan yang dilepaskan suspek. Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.50 malam dan kini sedang menyiasat motif serangan tersebut.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

Related Posts