'Saya hanya duta' - Jalaluddin Hassan sedia beri kerjasama pada SPRM | The Reporter

‘Saya hanya duta’ – Jalaluddin Hassan sedia beri kerjasama pada SPRM

Jalaluddin Hassan
Sumber Gambar: Instagram Jalaluddin Hassan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.

Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Susulan isu berkenaan juga, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan terkejut apabila mengetahui mengenai siasatan berkenaan dan memaklumkan beliau hanya berperanan sebagai duta untuk tujuan promosi syarikat tersebut.

Ujarnya, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya dipanggil.

“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat itu. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu. Bila isu ini timbul, saya agak terkejut.

“Pihak mereka berkata pada saya, kami sebagai duta tidak terkesan apa-apa. SPRM juga belum hubungi saya.

“Tetapi jika dihubungi untuk beri kerjasama, sudah tentu saya akan lakukannya. Tiada masalah, kami boleh bekerjasama. Setakat ini belum ada apa-apa lagi,” katanya.

Selain beliau, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi Ziana Zain dipilih sebagai duta syarikat pengurusan kewangan.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan menerima bayaran sehingga RM400,000.

“Alangkah bertuahnya saya kalau dapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, saya menafikan perkara itu.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” katanya.

Sumber: Kosmo

Related Posts