Saringan kesihatan mental murid akan dilaksana dua kali setahun - KPM | The Reporter

Saringan kesihatan mental murid akan dilaksana dua kali setahun – KPM

Menteri Pendidikan Malaysia bercakap mengenai pelaksanaan saringan kesihatan mental murid dua kali setahun di sekolah.
KPM umum saringan kesihatan mental murid akan dijalankan dua kali setahun bagi memperkukuh kesejahteraan pelajar. | Sumber gambar: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan saringan kesihatan mental murid dua kali setahun, berbanding sekali sebelum ini. Langkah itu menjadi sebahagian daripada pelan reformasi segera bagi memperkukuh kesejahteraan pelajar di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata keutamaan kini diberikan kepada kesihatan mental kerana semakin ramai pelajar menunjukkan tanda tekanan dan kemurungan. Menurutnya, saringan Minda Sihat akan membantu mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi awal, sebelum dirujuk kepada pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau menjelaskan, usaha psikiatri di sekolah telah bermula namun kini diperluas dengan latihan serta program sokongan yang lebih menyeluruh.

“Perkara nombor satu yang mesti diberi perhatian ialah kesihatan mental anak-anak kita,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis, 16 Oktober 2025.

Baca juga:

Fadhlina turut menjelaskan reformasi segera itu memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu kesihatan mental pelajar, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, larangan terhadap bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak serta kebajikan guru.

Khusus bagi pendidikan kesihatan reproduktif, kementerian menekankan pencegahan penderaan seksual kanak-kanak melalui program kesedaran berasaskan nilai agama, moral dan budaya. Pemeriksaan rutin dan mengejut juga akan diperketat bagi membendung bahan terlarang di sekolah.

Mengulas insiden jenayah melibatkan pelajar, Fadhlina menegaskan ia bukan kes terpencil tetapi peringatan tegas agar keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa diutamakan. Katanya, pembentukan sahsiah pelajar memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat.

Sumber: MalaysiaKini

Related Posts