Keputusan Sarawak untuk tidak menerima penempatan pelarian Rohingya sejak 2017 terbukti tepat berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan pelbagai masalah sosial timbul akibat pengurusan pelarian yang tidak teratur di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri tetap bersimpati terhadap nasib etnik Rohingya yang terpaksa meninggalkan Myanmar akibat penindasan dan konflik yang berlaku di negara tersebut, namun pendirian Sarawak untuk tidak menerima mereka adalah keputusan yang wajar.
Katanya, Malaysia khususnya Semenanjung Malaysia menjadi antara destinasi utama pelarian Rohingya kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Thailand dan Myanmar, sekali gus memudahkan kemasukan mereka melalui laluan darat dan laut.
Abdul Karim berpandangan pengurusan pelarian di negara ini tidak dilaksanakan secara cukup teratur, menyebabkan kehadiran mereka semakin ketara di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu.
Baca juga:
- ‘Sarawak kekal tolak penempatan Rohingya, keputusan 2017 terbukti tepat’ – Abdul Karim
- KPT pertimbang tindakan undang-undang terhadap Haim Hilman
- Pemilik Opah Strawberries mohon maaf, jelaskan kekeliruan isu tular
Beliau berkata, keadaan itu akhirnya menimbulkan pelbagai isu sosial yang sepatutnya boleh ditangani sekiranya sistem pentadbiran dan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Pada tahun 2017 kita tidak mengalu-alukan mereka datang ke Sarawak, tetapi itu tidak bermakna kita tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sedia bantu golongan memerlukan
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk warga asing yang berada di Sarawak ketika pandemik COVID-19 dan tidak dapat pulang ke negara asal akibat penutupan sempadan.
Menurutnya, pendekatan berperikemanusiaan itu akan terus diamalkan, namun sebarang keputusan untuk menerima pelarian dari luar negara perlu disertai dengan sistem pengurusan yang jelas dan berkesan.
Peningkatan masalah sosial
Abdul Karim turut mengingatkan bahawa kegagalan menguruskan pelarian secara sistematik boleh menyebabkan mereka menetap dalam tempoh yang lama, membina penempatan sendiri serta menguasai sebahagian aktiviti ekonomi sehingga menjejaskan peluang penduduk tempatan.
Selain itu, katanya, peningkatan masalah sosial juga boleh berlaku sekiranya kemasukan dan penempatan pelarian tidak dikawal serta dipantau dengan baik oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan memastikan sebarang dasar berkaitan penerimaan pelarian dilaksanakan secara teratur bagi mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan kepentingan rakyat tempatan.









