Saiz seluar jeans lebih 33, petanda obesiti, risiko kematian awal? | The Reporter

Saiz seluar jeans lebih 33, petanda obesiti, risiko kematian awal?

Menteri Kesihatan Indonesia menyatakan saiz seluar jeans lebih dari 33 melambangkan obesiti dan kesihatan.
Kata Menteri Kesihatan, lelaki yang mempunyai ukuran saiz seluar jeans melebih 33 berisiko terhadap obesiti dan penyakit kronik. Gambar hiasan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, menyatakan lelaki yang memakai seluar jeans bersaiz lebih daripada 32 sebagai ‘amaran’ kepada risiko kematian yang lebih awal. Beliau menjelaskan bahawa apa yang ingin disampaikannya sebenarnya berkaitan dengan indeks jisim badan (BMI), namun ia lebih mudah difahami orang ramai jika diterangkan melalui ukuran lilitan seluar.

“Begini ya, hati kita ni, kalau lemak itu kita makan, secara normalnya ia akan masuk di bawah kulit — subkutaneus. Kalau lebih daripada itu, lemak akan melekat pada organ-organ lain, seperti jantung, hati, dan sebagainya. Itu namanya lemak viseral (visceral fat), dan itu berbahaya,” katanya.

Memetik detiknews, Budi menjelaskan bahawa lemak yang melekat pada tempat yang tidak sepatutnya akan mencetuskan penghasilan sitokin pro-radang, salah satunya ialah interleukin 6. Sitokin pro-radang ini, jika dihasilkan secara berlebihan, boleh merosakkan organ-organ dalam tubuh.

Kekalkan BMI bawah 24

Disebabkan hal tersebut, beliau menyarankan agar lemak berbahaya yang berada di sekitar organ-organ dalaman dapat dikurangkan dan masyarakat dapat mengekalkan BMI di bawah 24.

“Jadi memang sebaiknya kita perlu menurunkan BMI kita ke bawah 24. Tapi nak sebut BMI 24 ni susah, jadi yang lebih mudah ialah dengan menggunakan ukuran lilitan pinggang. Bagi lelaki di bawah 90 cm, dan wanita di bawah 80 cm,” jelas Budi Gunadi.

“Itu baik untuk kesihatan supaya kita tidak mempunyai lemak viseral, dan seterusnya tidak menghasilkan sitokin pro-radang itu,” tambahnya lagi.

Risiko kematian awal

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin menyatakan bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada usia seseorang, dan salah satunya ialah obesiti. Beliau memberi amaran kepada kaum lelaki yang memakai seluar jeans bersaiz lebih 32, kerana itu menandakan risiko kematian lebih awal.

“Lelaki kalau beli seluar jeans dan ukurannya masih di atas 34-33 itu sudah pasti obesiti. Itu akan menghadap Allah lebih cepat berbanding yang saiz jeans-nya 32.

“Saya bukannya mahu memperlekehkan bentuk badan (body shaming), tapi memang itu maksudnya,” tambah beliau.

Budi juga menekankan pentingnya untuk mengawal pengambilan makanan. Beliau juga merujuk kepada sunnah Nabi agar behenti makan sebelum kenyang bagi mengurangkan obesiti selain menyarankan untuk melakukan senaman sekurang-kurangya lima kali seminggu, selama 30 minit.

“Dan seterusnya, jangan stres. Sebab nanti boleh dapat penyakit jiwa,” katanya.

Related Posts