Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Saintis memberi amaran bahawa kromosom Y pada lelaki semakin lemah dan mungkin pupus pada masa depan.
Kromosom X dan Y menentukan jantina manusia. Lelaki mempunyai kromosom X dan Y, sementara wanita mempunyai dua kromosom X. Walaupun kromosom ini hanya membentuk sebahagian kecil DNA, ia membezakan jantina.
Kromosom Y kini semakin mengecil dan berisiko hilang, menurut pakar genetik Australia, Jenny Graves.
Pada awalnya, kromosom Y hampir sama besar dengan kromosom X, tetapi sekarang ia hanya tinggal 45 gen, dengan satu gen utama yang membentuk jantina lelaki.
Jelas Graves, kromosom Y mudah rosak kerana ia berada dalam testikel yang sering mengalami mutasi akibat proses pembahagian sel yang kerap untuk menghasilkan sperma.
Tidak seperti kromosom Y, kromosom X lebih stabil dan jarang berubah. Kromosom Y tidak mempunyai pasangan untuk memperbaiki dirinya, menyebabkan ia kehilangan banyak gen asalnya dan sukar pulih.
Menurut Graves, lelaki tidak perlu risau sekarang kerana kromosom Y mungkin masih bertahan kira-kira enam hingga tujuh juta tahun lagi.
Pada masa hadapan, Graves berpendapat mungkin akan wujud gen penentu jantina baharu, seperti yang telah berlaku pada beberapa spesies tikus. – Agensi