Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Saham Astro Malaysia Holdings Bhd merosot lagi ke paras terendah 13 sen semalam, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap prestasi kewangan syarikat dan keberkesanan strategi transformasi yang dilaksanakan.
Penurunan harga ini berlaku selepas pengumuman keputusan kewangan suku kedua yang menunjukkan prestasi jauh di bawah jangkaan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada inisiatif pembaharuan syarikat mampu memulihkan keyakinan pasaran.
Strategi Astro One gagal tarik pelanggan
Inisiatif penjenamaan semula di bawah Astro One yang diharapkan mampu menambah pelanggan baharu ternyata tidak memberi kesan positif. Menurut TA Securities Research, langkah itu sebaliknya mengakibatkan pelanggan sedia ada beralih kepada pakej lebih murah, sekali gus menekan purata hasil setiap pengguna (ARPU) tanpa menambah jumlah pelanggan.
“Situasi ini menjejaskan pendapatan syarikat. Walaupun pengurusan menjangkakan ARPU akan stabil, ketiadaan pertumbuhan pelanggan baharu membuatkan kami berhati-hati terhadap prospek syarikat,” kata firma penyelidikan itu dalam nota analisisnya.
Baca juga:
- Pelajar yatim kritikal akibat kemalangan
- ‘Abdul Fattah pernah beritahu, mahu meninggal masa kecil, mahu terus ke syurga’ – Bapa
- Bayi 1 tahun maut dalam kemalangan 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang
Prestasi kewangan merudum
Laporan kewangan suku kedua berakhir 31 Julai 2025 menunjukkan keuntungan bersih merosot lebih 70% kepada RM16.39 juta berbanding RM54.71 juta pada tempoh sama tahun lalu. Hasil juga menyusut kepada RM683.21 juta daripada RM787.30 juta sebelumnya.
Bagi separuh pertama tahun kewangan, keuntungan bersih terkumpul jatuh kepada RM29.87 juta berbanding RM71.72 juta pada tahun lalu, manakala hasil turun 11.1% kepada RM1.39 bilion. Penurunan ini berpunca daripada kejatuhan pendapatan langganan, pengiklanan dan jualan hak pemprograman.
Walaupun terdapat sedikit sokongan daripada keuntungan pertukaran asing serta kos pembiayaan dan cukai yang lebih rendah, ia tidak cukup untuk menampung penyusutan pendapatan utama.
Tumpuan baharu pada kandungan dan perniagaan sampingan
Pengurusan Astro menegaskan mereka kekal komited dengan agenda transformasi jangka panjang, termasuk memperkukuh kandungan tempatan, mengembangkan perkhidmatan seperti sooka dan Astro Fibre, serta memajukan pengiklanan terarah dan penyelesaian perusahaan. Pada masa sama, pelarasan struktur kos legasi juga sedang dilaksanakan.
Namun, selagi saham kekal di paras 13 sen dan pelabur belum melihat tanda pemulihan, keyakinan pasaran terhadap Astro dijangka terus mencabar.
Sumber: Berita Harian