Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Hari Sabtu terakhir setiap bulan September telah diisytiharkan sebagai Hari Cuci Malaysia, satu inisiatif yang dianjurkan bagi menangani isu pencemaran sisa serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pembersihan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyatakan bahawa penetapan hari khas ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan akan diterajui oleh kementeriannya di seluruh negara.
Menurut beliau, bagi penganjuran tahun ini, KPKT menyasarkan penyertaan seramai 100,000 peserta, termasuk penglibatan murid sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pendekatan Menyeluruh untuk Pembersihan Awam
“Hari Cuci Malaysia akan dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh (whole of nation) yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan tempatan, institusi pendidikan serta badan swasta mengikut kesesuaian dan kapasiti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 20 September sebagai Hari Pembersihan Sedunia, bertujuan menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan awam.
Meningkatkan Imej Malaysia Sebagai Negara Bersih dan Aman
Pada masa yang sama, Kor Ming menegaskan bahawa kerajaan berhasrat untuk menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang bersih dan aman melalui pelaksanaan program ini.
“Ia penting supaya kita dapat terus menawan hati pelancong dari seluruh dunia, lebih-lebih lagi Malaysia kini merupakan antara destinasi pelancongan utama,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan Hari Cuci Malaysia pada tahun lepas berjaya mencipta tiga rekod nasional baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatatkan penyertaan seramai 58,007 peserta di seluruh negara.
Selain itu, program ini juga merekodkan kutipan sisa pepejal terbanyak dalam tempoh sehari, iaitu 4,645.5 tan metrik, serta pelaksanaan aktiviti gotong-royong paling lama, iaitu selama 12 jam.
“Melalui sasaran penyertaan seramai 100,000 peserta, termasuk murid sekolah, kita mahu menanam budaya kebersihan sejak kecil agar kebersihan awam dapat dipelihara bersama.
“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” katanya.
Sumber: Berita Harian