RXZ Member 6.0 diteruskan di Terengganu | The Reporter

RXZ Member 6.0 diteruskan di Terengganu

Berita baik buat peminat motosikal RXZ, program himpunan motosikal RXZ Member 6.0 akan diteruskan di Litar Permotoran Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 14 September depan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali menerusi Facebook rasmi RXZ Members – Official beberapa hari lalu.

Dalam pada itu juga, Faizal turut mengumumkan hadiah utama iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire 2.5L, dua buah motosikal Yamaha RXZ dan pelbagai lagi hadiah menarik yang lain.

Terdahulu, program himpunan ini mendapat liputan meluas dan mencetuskan kontroversi apabila motosikal peserta ditahan oleh pihak berkuasa. Penahanan mereka menimbulkan pelbagai persepsi.

Bagaimanapun, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan motosikal yang ditahan telah didapati mempunyai banyak kesalahan dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Sebelum ini juga, pelbagai pihak tampil memberikan idea dan pandangan bagi memeriahkan lagi program tersebut. Antara lain cadangan menukar lokasi program berkenaan di Kuantan, Pahang.

Namun begitu, cadangan berkenaan tidak dipersetujui ramai kerana lokasi di Terengganu dilihat sudah strategik.

Sumber: RXZ Members – Official

Related Posts