Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon dan ahli perniagaan, Datuk Rosyam Nor, 57, akan tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan namanya dengan isu rumah tangga pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura, walaupun ada pihak yang telah tampil memohon maaf kepadanya.
“Esok, saya dan peguam akan bertemu dengan pegawai penyiasat untuk meneruskan siasatan dan mengenal pasti setiap akaun media sosial yang menyebarkan fitnah berkenaan perceraian Fattah dan Fazura.
“Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai mereka. Cuma, apabila ada tangan nakal yang membabitkan saya dalam isu itu, ia adalah fitnah.
“Pada mulanya, saya ingin abaikan sahaja, tetapi keadaan semakin teruk. Saya perlu ambil tindakan undang-undang kerana ia menjatuhkan reputasi saya.
“Saya memang sangat marah dengan fitnah ini. Mereka (pemfitnah) perlu ingat, saya mempunyai keluarga, besan, menantu, cucu, dan rakan perniagaan yang nama baik mereka juga perlu dijaga,” katanya.
Rosyam berharap tindakan undang-undang ini akan membuka mata masyarakat yang menggunakan media sosial, walaupun tidak semua netizen bersikap sedemikian.
Selepas perceraian Fattah dan Fazura pada 7 Oktober lalu, rakaman video podcast Rosyam yang membincangkan topik tentang seorang isteri mula memandang rendah terhadap suami jika dia lebih kaya menjadi tular semula.
Walaupun begitu, namanya tiba-tiba dikaitkan dengan isu perceraian pasangan itu, walhal dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang mereka.
Sumber: Harian Metro








