Pensyarah UIAM dakwa Rom belajar bina kapal dari Melayu berpaksikan sumber Arab klasik | The Reporter

Pensyarah UIAM dakwa Rom belajar bina kapal dari Melayu berpaksikan sumber Arab klasik

Perbahasan mengenai teori hubungan ilmu pelayaran Melayu dengan tamadun Rom
Hipotesis akademik berpaksikan sumber Arab klasik mencetus semula minat terhadap sejarah maritim Melayu dan pengaruhnya dalam tamadun dunia.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pensyarah UIAM, Prof Dr Solehah Yaacob tampil menjelaskan hipotesisnya yang tular mengenai dakwaan bahawa tamadun Rom pernah mewarisi sebahagian ilmu pelayaran daripada bangsa Melayu. Katanya, pandangan itu berasaskan sumber Arab klasik yang menggambarkan kepakaran pelaut Melayu sebagai antara yang terawal menguasai lautan dan membangunkan seni pembinaan kapal dalam sejarah manusia.

Beliau menegaskan bahawa hipotesis itu tidak dibuat sembarangan, sebaliknya berpijak pada tradisi pembacaan ilmiah.

Beliau turut merujuk catatan sejarah yang menyebut tentang keterbatasan kayu di Eropah untuk pelayaran jauh, sekali gus memungkinkan bangsa Rom mendapatkan panduan daripada pelayar Mesir, India atau bahkan Alam Melayu.

Menurutnya, rekod arkib muzium di Australia juga mengiktiraf pembina kapal laut dalam terbaik berasal daripada rumpun Austronesia, manakala laporan akhbar lama mendakwa lelaki pertama yang mengelilingi dunia ialah orang Melayu, satu naratif yang jarang diketengahkan dalam wacana sejarah arus perdana.

Baca juga:

Austronesia, Srivijaya dan Identiti Melayu

Prof Solehah turut menjelaskan kekeliruan umum tentang istilah Austronesia yang diperkenalkan oleh orientalis Eropah pada abad ke-19. Sebaliknya, istilah Melayu lebih lama digunakan bagi merujuk bangsa pelayar yang mendominasi era Empayar Srivijaya sekitar 600 hingga 1200 Masihi.

Katanya, inilah asas kepada dakwaan bahawa dunia Melayu adalah pusat kepada tradisi maritim awal yang mempengaruhi banyak tamadun lain.

Beliau berharap penjelasan itu dapat meredakan salah faham, ejekan dan penyelewengan fakta yang muncul susulan tularnya video syarahan beliau di YouTube sebelum ini. Tegasnya, hipotesis mengenai kejayaan pelaut Melayu dan kemungkinan pengaruhnya terhadap Rom masih terbuka kepada perbahasan ilmiah, namun perbezaan pandangan adalah lumrah dalam tradisi akademik dan Islam.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts