Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua remaja lelaki di Shanghai menerima padah selepas mahkamah mengarahkan mereka serta ibu bapa masing-masing membayar ganti rugi lebih 2.2 juta yuan (kira-kira RM1.4 juta), lapor South China Morning Post.
Tindakan itu diambil susulan video mereka kencing ke dalam kuah hotpot sebuah restoran terkenal, Haidilao, yang tular di media sosial.
Insiden jijik yang cetus kemarahan
Perbuatan itu berlaku di sebuah bilik makan peribadi restoran berkenaan. Kedua-dua remaja berusia 17 tahun tersebut merakam aksi mereka dan memuat naik di media sosial walaupun sedar ia boleh memberi kesan buruk. Rakaman itu segera mencetus kemarahan orang ramai dan menjejaskan nama baik Haidilao.
Baca juga:
- Ibu serah dua remaja kepada polis selepas rosakkan perpustakaan sekolah, rugi RM235,000
- ‘Telefon bimbit di tangan anda itu, sebahagian daripada Israel’ – Netanyahu
- Cucu Nelson Mandela sertai Global Sumud Flotilla
Bagi meredakan keadaan, pihak restoran segera bertindak memusnahkan semua peralatan yang digunakan, menggantikannya dengan baharu, serta memulangkan bayaran lebih 4,000 pesanan. Malah restoran turut memberi pampasan sehingga 10 kali ganda kepada pelanggan, namun mahkamah menjelaskan langkah itu dibuat atas pilihan syarikat sendiri dan bukan kerana kewajipan undang-undang.
Ibu bapa turut dikenakan tindakan
Mahkamah Rakyat Daerah Huangpu memutuskan remaja dan ibu bapa mereka perlu membuat permohonan maaf secara terbuka melalui akhbar serta menanggung kerugian besar yang dialami restoran tersebut.
Majalah rasmi Parti Komunis, China Comment, menegaskan kes ini menjadi pengajaran penting bahawa ibu bapa tidak boleh melepas tangan dalam soal mendidik anak. Editorial itu menyifatkan tindakan remaja berkenaan bukan sekadar gurauan, sebaliknya perbuatan yang melampau dan mencabar norma masyarakat.