Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kisah pemergian seorang remaja lelaki, Muhammad Zafran Hadi bin Mohd Fitrahaizul, yang berjuang melawan kanser tulang sejak tahun 2023, mengundang sebak dalam kalangan netizen apabila coretan penuh kasih mengenai hubungan adik-beradik itu tular di TikTok.
Zafran, yang sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai selepas menerima kunjungan beberapa figura terkenal termasuk Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pemain bola sepak kebangsaan Faisal Halim, disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.45 pagi, Selasa (21 Oktober).
Lebih menyentuh hati, tarikh pemergiannya itu jatuh pada hari lahir adik lelakinya, Aidil Haziq, yang merupakan teman rapat dan peneman setianya.
“Selepas mama dan abah, Aidil lah yang paling banyak teman dan jaga abang. Geng tidur abang, geng sembang bola, geng main game, geng segalanya. Abang sayang Aidil dan semua adik-adik abang,” katanya.
Menurut perkongsian di TikTok, Zafran mula didiagnos menghidap kanser tulang pada 18 Mac 2023. Sejak itu, perjuangannya tidak pernah mudah. Pada 15 Mei lalu, sebelah kakinya terpaksa dipotong dan kemudian menjalani pembedahan paru-paru pada 13 Ogos apabila kanser dikesan telah merebak.
Namun, semangatnya tidak pernah luntur. Zafran tetap tersenyum, aktif berkongsi momen positif bersama keluarga, serta menyimpan impian kecil ingin menghadiahkan telefon baharu kepada Aidil, tanda kasih seorang abang kepada adik yang tidak pernah jemu menemani.
“Happy birthday Aidil Haziq. Terima kasih kerana sentiasa jadi adik yang kuat, penyayang dan setia dengan abang. Abang sayang Aidil sangat-sangat,” tulis hantaran di TikTok tersebut.
Baca juga:
- Remaja hidap kanser tulang meninggal dunia, sempat hadiahkan telefon buat adik
- Dua lelaki ditahan bantu siasatan letupan mercun di Kulim
- Kes rogol di Kelantan meningkat, majoriti libatkan suka sama suka
Jenazah Muhammad Zafran Hadi telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seri Kundang selepas solat Zuhur pada Selasa.
Pihak keluarga turut memohon agar orang ramai terus mendoakan Zafran.
“Dengan penuh dukacita dan reda terhadap ketentuan Ilahi, kami memaklumkan bahawa Zafran telah kembali ke rahmatullah… Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Sumber: TikTok Zfrn_had18