Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dari sebuah unit apartmen di Bangi Idaman, Bandar Baru Bangi, sejak Sabtu lalu. Nur Aleeyah Qistina Mohammad Adzham, 13, dilaporkan hilang pada Ahad selepas keluarganya gagal mengesan keberadaannya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kehilangan remaja itu dibuat pada jam 2.20 petang Ahad.
“Remaja itu berketinggian 155 sentimeter, berbadan gempal, dan berambut panjang. Berat badannya dianggarkan sekitar 70 kilogram. Ketika kali terakhir dilihat, dia memakai kemeja-T berwarna coklat,” katanya.
Polis kini meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu mengesan remaja berkenaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran. Mereka juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Khairul Hafiz Abd Ghani di talian 018-4027665,” tambahnya.
Pihak keluarga turut merayu agar sesiapa yang mengetahui keberadaan remaja itu segera memberikan maklumat kepada pihak berkuasa untuk membantu usaha pencarian.
Sumber: Sinar Harian