Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pemimpin PAS, Siti Mastura, sebelum ini pernah menjadi tumpuan apabila diperintahkan membayar lebih RM800,000 dalam saman fitnah selepas didapati mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap tiga pemimpin DAP.
Namun, episod itu nampaknya tidak menjadi iktibar, apabila pemimpin PAS lain terus mengulangi kesilapan sama, mencetuskan persoalan tentang sejauh mana mereka memahami risiko undang-undang dan tanggungjawab moral dalam politik.
Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, mencetuskan kontroversi selepas mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebagai “anak YTL” dalam satu ceramahnya baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang kini tular, Razman mendakwa Hannah sebagai “anak orang kaya” dan mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh yang mengasaskan konglomerat YTL Corporation Berhad.
“Hannah Yeoh anak orang kaya, anak YTL. YTL ini dulu Perak Hanjoong (Simen). Cerdiknya Umno dulu pergi jual Perak Hanjoong ini kepada YTL. Hannah Yeoh ini anak dialah,” ujar Razman dalam ceramah tersebut.
Bagaimanapun, dakwaan ini segera disangkal oleh Hannah Yeoh menerusi platform media sosial X. Menurutnya, tidak semua individu dengan nama keluarga Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga pengasas YTL.
Razman mohon maaf
Selepas dikecam ramai, Razman mengakui kesilapan dan menyatakan kekesalan atas dakwaannya yang mengaitkan Hannah dengan keluarga Yeoh. Menurutnya, kenyataan itu adalah kesilapan lisan yang tidak disengajakan.
“Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia kesilapan kata-kata yang berlaku tanpa sengaja. Saya memohon maaf kepada Yeoh, YTL, dan semua pihak yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, Razman mendakwa laporan media hanya memetik 10 saat daripada ceramahnya yang berlangsung selama 30 minit dan tidak melaporkan isu-isu lain yang dibincangkan.
Fitnah tidak boleh dibiarkan
Hannah Yeoh membidas kenyataan Razman, menegaskan ia mencemarkan reputasinya dan bertegas akan mengambil tindakan undang-undang.
“Nantikan surat daripada peguam saya. Fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan, terutamanya oleh orang yang beragama,” tegasnya.