Ramly Burger, syarikat ais tangguh kenaikan harga selepas dipanggil KPDN | The Reporter

Ramly Burger, syarikat ais tangguh kenaikan harga selepas dipanggil KPDN

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali bersama imej produk ais dan Ramly Burger yang terlibat isu kenaikan harga
Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan tindakan KPDN selepas dua syarikat termasuk Ramly Burger tangguh kenaikan harga produk

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Syarikat pembekal ais dan pengeluar makanan sejuk beku yang sebelum ini mencetuskan kegusaran pengguna berkaitan kenaikan harga, akhirnya mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan langkah tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-duanya dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memberi penjelasan lanjut mengenai alasan semakan harga.

Syarikat nafi kenaikan harga berkait SST

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan, dalam pertemuan pada 1 Julai lalu, pihak kementerian telah menasihatkan syarikat terlibat supaya terlebih dahulu berunding dengan Bahagian Penguat Kuasa sebelum membuat sebarang pelarasan harga pada masa akan datang.

“Kedua-dua syarikat ini telah maklumkan pada 1 Julai lepas (Selasa) mereka menangguhkan untuk menaikkan harga,” katanya memetik laporan Bernama.

Majoriti peniaga burger jalanan menggunakan produk Ramly Burger | Gambar hiasan

Menurut Armizan, kedua-dua syarikat berkenaan turut memaklumkan kenaikan harga yang dirancang sebenarnya tidak ada kaitan dengan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebaliknya disebabkan peningkatan kos operasi.

“Kita nasihatkan sekiranya benar, ada maklumat tertentu yang perlu mereka bekalkan yang dituntut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujar Armizan lagi.

Beliau memberi jaminan bahawa KPDN akan meningkatkan pemantauan serta menjalankan siasatan secara telus bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa pencatutan oleh mana-mana pihak.

Dakwaan tular disiasat pihak berkuasa

Dua pekerja sedang membungkus ais untuk dijual kepada peniaga | Gambar hiasan

Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan kononnya Sim Yang Hok Industries Sdn Bhd bercadang menaikkan harga sebongkah ais daripada RM3.70 kepada RM6, manakala Ramly Burger pula dikatakan mahu menaikkan harga produk sebanyak 10 peratus bermula Julai.

Syarikat ais berkenaan menyifatkan dakwaan yang mengaitkan SST sebagai punca kenaikan harga sebagai maklumat tidak benar dan telah membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Ramly Burger diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membolehkan kementerian mendapatkan maklumat lengkap berhubung cadangan semakan harga.

Related Posts