Ramasamy minta PM reformasikan perkhidmatan awam untuk pecahkan dasar monopoli kaum tertentu tapi kena kecam - The Reporter

Ramasamy minta PM reformasikan perkhidmatan awam untuk pecahkan dasar monopoli kaum tertentu tapi kena kecam

Tiga hari lalu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mencadangkan perkhidmatan awam Malaysia direformasikan bagi memecahkan dasar monopoli kaum tertentu. 

Ini kerana katanya, perkhidmatan awam kebanyakannya terdiri daripada kaum Bumiputera Melayu dari Semenanjung selepas lebih 60 tahun merdeka dan hanya sebilangan kecil Bumiputera bukan islam dan bukan Melayu, termasuk Cina dan India. 

“Dasar perkauman sebegini tidak boleh dipertahankan lagi, bukan ketika kerajaan perpaduan berkuasa. 

“Dalam keadaan politik hari ini, Anwar boleh secara perlahan-lahan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara,” katanya yang menegaskan pandangan itu sekadar pandangan peribadi, bukannya pandangan mewakili DAP, yang mahu melihat pembaharuan dalam sektor awam. 

Bagaimanapun, kenyataan Ramasamy itu dilihat sebagai liabiliti dan mencetus rasa tidak puas hati ramai pihak yang menggesa Ramasamy dikenakan tindakan segera. 

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ramasamy memang sangat dikenali dengan keceluparannya dan tiada keperluan untuk dilayan. 

“Beliau memang dikenali sebagai ‘loose canon’. Kita tidak perlu layan kenyataan dia. Biarlah kepimpinan partinya yang menangani perkara ini,” katanya. 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat turut tampil menjawab kenyataan Ramasamy. 

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu. 

“Sebelum ini, ramai tidak berminat menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, DAP akan menggunakan saluran dalaman dan pendekatan sendiri untuk menangani Ramasamy dan memberi peringatan tegas terhadap mana-mana pemimpin DAP untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat. 

“Kita (DAP) adalah sebahagian daripada kerajaan, peranan kerajaan adalah menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah,” katanya. 

Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!