Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rakan kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, tidak menyangka pendakian ke Gunung Liang berakhir dengan tragedi. Mereka meneruskan perjalanan turun kerana percaya Mustaqqeem akan tiba dengan selamat bersama sweeper, iaitu malim gunung terakhir yang mengiringi kumpulan pendaki.
Muhammad Hafidz Mohd. Kamal, 36, berkata keyakinan itu membuatkan mereka terus menuruni gunung.
“Saya tiba di kaki gunung pada pukul 2 pagi, tapi saya menunggu Allahyarham sehinggalah pukul 8 pagi sebelum mengambil keputusan untuk pergi mendapatkannya bersama seorang rakan kerana berasakan tidak logik dia tidak sampai lagi ke garisan penamat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Terserempak dengan sweeper
Ketika dalam perjalanan naik semula, Hafidz terserempak dengan sweeper yang sepatutnya bersama Mustaqqeem. Lelaki itu memaklumkan bahawa arwah berada di atas puncak dan sedang turun perlahan-lahan.
“Apabila berjumpa dengan sweeper, saya bertanya bagaimana keadaan Mus. Dia cakap Mus berada di atas puncak dan sedang turun. Dia kata keadaan Mustaqqeem okay dan sedang mencuba untuk turun,” katanya.
Namun, Hafidz berkata mereka terpaksa membatalkan hasrat mencari arwah ketika itu kerana cuaca buruk. Selepas turun semula, beliau memaklumkan situasi tersebut kepada isteri Mustaqqeem sebelum menghubungi pasukan penyelamat bersama beberapa rakan pendaki lain.
Baca juga:
- ‘Sweeper kata dia okay & sedang cuba untuk turun’ – Rakan nafi dakwaan tinggalkan Mustaqqeem
- Kematian Mustaqqeem Mansoor disahkan akibat hipotermia, dua malim gunung ditahan
- Larangan telefon bimbit pelajar bawah 16 tahun sedang dikaji – Anwar
Pendakian panjang dan cabaran cuaca
Menurut Hafidz, mereka berdua merupakan rakan sekerja di Pulau Pinang dan menyertai kumpulan sembilan pendaki termasuk dua malim gunung. Pendakian bermula dari Bukit Fraser, Pahang pada malam 10 Oktober dan dijangka tamat pada 13 Oktober di Gunung Liang. Namun, keadaan cuaca yang mencabar menyebabkan mereka hanya turun pada 15 Oktober.
Hafidz berkata pada awal pagi hari ketiga, Mustaqqeem mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dia membantu menggendong sebahagian barangan rakannya itu bagi memudahkan pergerakan. Mustaqqeem kemudian meneruskan pendakian bersama malim gunung kedua yang bertindak sebagai sweeper.
Penemuan di puncak
Selepas beberapa hari operasi mencari dijalankan, Mustaqqeem ditemui maut di puncak Gunung Liang pada 17 Oktober sekitar jam 3.30 petang.
Pemeriksaan awal mendapati beliau meninggal dunia akibat hipotermia sebelum jenazah dibawa turun menggunakan helikopter unit udara bomba keesokan harinya.
Sumber: Kosmo! Online