Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Rafizi Ramli mengumumkan pelancaran dua inisiatif baharu di bawah program Ayuh Malaysia yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan makanan dan barangan asas pada harga berpatutan, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Dua inisiatif tersebut, Fleximart dan Kesum, dijadual dibuka kepada orang ramai masing-masing pada 1 November dan 8 November ini.
Menurut Rafizi, Fleximart merupakan sebuah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada penawaran makanan siap sedia pada harga di bawah RM5, selain menyediakan pelbagai barangan runcit dengan harga rendah.
Sementara itu, Kesum pula ialah kedai makan berkonsepkan value meal yang membawa maksud “Kenyang, Sedap dan Murah”, diambil sempena nama daun kesum yang sinonim dengan masakan tempatan. Kedai ini akan menjual hidangan sarapan, makan tengah hari dan malam, juga pada harga bawah RM5.
Rafizi menjelaskan, kedua-dua perniagaan itu beroperasi atas model perusahaan sosial, yang menggabungkan penyumbang modal dan pekerja sebagai rakan kongsi.
“Keuntungan akan dikongsi bersama di antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai. Lebih untung, lebih tinggi gaji pekerja dan sebahagian keuntungan akan disumbangkan semula bagi memastikan harga kekal rendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, projek tersebut merupakan satu bentuk eksperimen sosial yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu, khususnya untuk anak muda.
“Saya tidak tahu sama ada model ini akan berjaya, tetapi niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan dan barangan pada harga lebih murah,” jelas beliau.
Baca juga:
- Hong Thai tarik balik inhaler herba
- Anwar nafikan Malaysia tunduk kepada AS, tetap lantang bela Palestin
- Anthony Loke selar syarikat lori berdegil bawa lebih muatan
Sekiranya model ini berjaya, Rafizi berkata ia akan dikembangkan kepada lebih banyak cawangan di seluruh negara.
“Lebih banyak cawangan bermakna lebih banyak tawaran harga rendah dan lebih ramai anak muda akan dilatih untuk memiliki serta menguruskan perniagaan sendiri,” katanya lagi.
Orang ramai dijemput hadir ke majlis pembukaan Fleximart pada Sabtu, 1 November 2025 jam 10 pagi di No. 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam (sederet dengan Speedmart).
Sementara itu, Kesum akan dibuka pada 8 November 2025 jam 9 pagi di No. 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah (sederet dengan KM Bistro).
Rafizi turut berkongsi bahawa beliau sendiri akan turut serta membantu sebagai krew pada hari pelancaran.
“Insya-Allah saya akan buat kopi, sediakan makanan dan menjadi sebahagian daripada krew Fleximart dan Kesum pada hari itu,” katanya.








