Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Band popular Indonesia, Radja, kembali dengan single baharu bertajuk Apa Sih, yang dilancarkan pada Sabtu, 21 Disember 2024. Namun, lagu ini mencetuskan kontroversi apabila ramai mendakwa ia menyerupai lagu APT nyanyian Rose Blackpink bersama Bruno Mars.
Gitaris Radja, Moldy, dalam sidang media yang diadakan di Jakarta Selatan pada Isnin lalu mengakui lagu tersebut mendapat inspirasi daripada APT.
“Bagi saya, apa salahnya mengambil inspirasi daripada sesuatu yang baik? Kita tidak meniru bulat-bulat, sebaliknya olah dengan gaya tersendiri,” katanya yang turut menegaskan pengaruh daripada lagu berkenaan tidak bermakna mereka melanggar hak cipta.
Moldy menjelaskan, mereka sentiasa cuba mengekalkan identiti sendiri dalam setiap karya.
“Dalam muzik, inspirasi itu perkara biasa. Yang penting, kita tidak mengambil karya orang lain secara langsung, tetapi menghasilkan sesuatu yang berbeza,” ujarnya.
Vokalis Radja, Ian Kasela, turut berkongsi pandangannya bahawa setiap manusia belajar dan berkembang melalui proses meniru, termasuk dalam muzik.
“Semua orang mengambil inspirasi daripada sesuatu. Yang penting, bagaimana kita jadikan ia unik,” katanya.
Lagu Apa Sih membawa tema kehidupan harian, merangkumi persoalan, keraguan, dan pencarian makna. Menurut Ian, mesej lagu ini adalah untuk mendorong pendengar agar berani bertanya dan mencari makna dalam kehidupan. – Agensi








