Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon Que Haidar, 45, mengesahkan dia telah bercerai dengan bekas isterinya, Linda Jasmine, 52, pada 2 Julai lalu setelah 15 tahun hidup bersama.
Que, atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, memaklumkan keputusan itu diambil secara bersama tanpa ada persengketaan. Walaupun begitu, mereka masih mengekalkan hubungan yang baik demi kebaikan anak-anak.
“Segala ketentuan adalah dari Allah. Saya bersyukur dan mohon semua doakan yang terbaik buat saya dan Linda. Kami masih berkawan baik, walaupun perpisahan bukanlah kehendak sesiapa,” ujar Que, memetik laporan Harian Metro, Ahad.
Bagaimanapun, Que enggan mendedahkan punca sebenar perceraian itu kerana menganggap isu tersebut sebagai terlalu peribadi. Namun, Que mengakui bersyukur apabila anak-anaknya, Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar, memahami situasi yang berlaku.
“Perkara berkaitan rumah tangga lebih baik disimpan sendiri. Perceraian bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Yang penting, kami terus menyokong antara satu sama lain untuk kebaikan anak-anak,” katanya lagi.
Que turut menegaskan tiada sebarang perbalahan yang berlaku antara mereka, dan hubungan mereka masih baik seperti biasa.
Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009. Sepanjang tempoh perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Tengku Ratu Haidar yang kini berusia 15 tahun dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun. Linda juga mempunyai seorang anak lelaki, Qalif Khan, 24 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.