'Besi tu dah lama tercabut,' netizen Singapura pertahankan pemandu Maserati, salahkan mangsa? | The Reporter

‘Besi tu dah lama tercabut,’ netizen Singapura pertahankan pemandu Maserati, salahkan mangsa?

Kereta Maserati merah remuk selepas kemalangan maut di Lebuhraya Linkedua Johor
Gambar ihsan orang awam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tindakan seorang lelaki warga Singapura memandu secara melulu dan membuat pusingan U di Lebuhraya Linkedua, Johor, sehingga menjadi punca kemalangan maut bukan saja mengundang kemarahan rakyat Malaysia, malah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen Singapura sendiri.

Dalam kejadian 9 Mei lalu, sebuah kereta Maserati merah didakwa membuat pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan sehingga melanggar penghadang jalan. Akibatnya, besi penghadang jalan tercabut dan berada di laluan bertentangan.

Seorang penunggang motosikal jenis Honda RS150R, berusia 31 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar besi penghadang tersebut, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kemalangan itu turut menyebabkan kotak simpanan motosikalnya tercampak dan dilanggar dua penunggang motosikal lain. Namun, kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Sementara itu, pemandu Maserati terbabit turut diserang oleh beberapa pengguna jalan raya yang berang dengan kejadian itu, sebelum diselamatkan dan ditahan oleh pihak polis.

Walaupun telah dibebaskan selepas soal siasat, lelaki berusia 27 tahun itu masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Netizen Singapura berdebat di Reddit, ada yang salahkan mangsa

Insiden ini mengundang pelbagai reaksi netizen terutamanya di kalangan netizen Singapura di platform Reddit. Seorang netizen bernama ‘ybct‘ tampil mempertahankan pemandu Maserati itu dengan menyatakan lelaki itu tidak bersalah.

“Secara teknikal, pemandu itu bertanggungjawab secara tidak langsung kerana menyebabkan kemalangan awal. Tetapi dari segi undang-undang, mungkin tiada kes yang boleh dikenakan terhadapnya kerana besi penghadang sudah berada di tempat itu untuk beberapa lama sebelum penunggang motosikal melanggarnya.”

Komen tersebut telah mencetuskan reaksi tidak puas hati daripada netizen lain yang menegaskan bahawa pemandu Maserati itu adalah punca utama kemalangan.

“Dia masih ada keberanian untuk menyalahkan mangsa, sedangkan besi penghadang itu dilanggar oleh pemandu Maserati akibat daripada membuang pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan. Bodoh betul, biarlah pihak berkuasa Malaysia ambil tindakan terhadap dia,” kata Reyyrioo.

Polis kini sedang menjalankan siasatan dan meminta mana-mana saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

Related Posts