Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, pelakon popular Fattah Amin menerima kecaman netizen selepas memuat naik sebuah video memujuk pekerja produk jenama kambing perap terkenal, Una, yang dikhabarkan telah berhenti kerja.
Dalam video tersebut, Fattah dilihat berkata, “Una, kalau Una tengok video ini cuba jawab panggilan saya. Kalau ada apa-apa tak puas hati, beritahu saya. Kita bawa berbincang. Jangan lupa tengok siaran langsung saya esok.”
Namun, tindakan Fattah itu tidak diterima baik oleh sebahagian netizen yang melabel konten tersebut sebagai gimik pemasaran murahan. Malah, ada yang menyatakan rasa jelik kerana ia dilihat kurang matang.
“Pujuk Fazura, bukan Una. Masa bekas isteri awak dalam iddah, patutnya fokus kepada perkara lebih sesuai,” komen seorang netizen yang kecewa dengan tindakan pelakon itu.
Selain itu, ramai juga yang membangkitkan isu lama, mempersoalkan mengapa Fattah tidak menunjukkan sokongan sama kepada bekas isterinya, Nur Fazura, semasa beliau dikecam ketika mereka masih bersama.
Terdahulu, Fattah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran jenama produk daging perap tersebut pada November lalu dan sering muncul dalam sesi siaran langsung bersama pekerja mereka.
Tindakan terbaru ini, bagaimanapun, menyebabkan netizen mempersoalkan pendekatan pemasaran yang dilakukan dan menganggap ia memberi kesan negatif terhadap reputasi pelakon itu.