'Projek Fidlot dilaksana sebelum saya jadi MB' - Sanusi | The Reporter

‘Projek Fidlot dilaksana sebelum saya jadi MB’ – Sanusi

Sanusi jelaskan projek Fidlot bukan di bawah pentadbirannya.
Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan bahawa Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot dilaksanakan sebelum beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Beliau juga menegaskan tidak mengetahui tentang perkata berkenaan dan hanya mengetahui melalui laporan media.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam ada menyatakan bahawa pendakwaan tersebut bermotifkan politik dan perkara itu ujarnya dapat dilihat dengan jelas oleh sesiapa yang mengikuti perkembangan projek berkenaan.

“Yang ambil (rasuah) orang lain, yang kena orang lain. Itu pelik juga. Azman pun ada buat sidang media terangkan pendakwaan bermotif politik,” katanya.

Tambahnya Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot itu sepatutnya di bawah kendalian Kedah Agro Holding Berhad (KAHB), namun telah lama ditutup dan tiada lagi aktiviti dijalankan.

“Kedah Agro sudah ditutup. Bila tutup makna tak ada aktiviti, tutup buku. Kedah Agro tutup apabila kita buat Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan hentikan operasi.

“Sekarang ada syarikat swasta ambil alih Kedah Agro. Ini kes lama sebelum 2020, Menteri Besar orang lain, EXCO pun orang lain. Beliau (Azman) salah seorang EXCO pada masa itu,” katanya.

Baca juga:

Ditanya mengenai sebarang tindakan yang mungkin diambil terhadap Azman, beliau menjelaskan bahawa tiada tindakan boleh dikenakan selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Bersalah hanya apabila mahkamah memutuskan demikian,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah RM400,000 melibatkan projek ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.

Menurut kertas pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan untuk menerima wang tersebut sebagai upah membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Kubang Pasu.

Sumber: Berita Harian, Facebook Muhammad Sanusi Md Nor

Related Posts